Zahid bimbang prestasi PRK Johor berulang seperti PRN - Idris

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Idris
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Pas membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru pengundi pilihan raya kecil (PRK) memainkan peranan bagi mengelakkan ‘kebanjiran’ wakil rakyat parti itu di negeri Johor.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kenyataan Ahmad Zahid seolah-olah bimbang bahawa keputusan PRK di Johor akan memperlihatkan prestasi sama seperti pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.

“Sebagaimana PRN di enam negeri itu, kita tengok hampir enam peratus orang Melayu sokong Perikatan Nasional (PN). Sebab itu, dia bimbang dengan prestasi PRK di Johor. Memang menggerunkan mereka.

“Dia tahu, orang akan nampak UMNO bukan lagi tempat untuk Melayu berteduh.

“Mungkin dia lebih rela orang PH terutama calon daripada Amanah, yang merupakan orang kuat menyokong DAP itu ‘membanjiri’ Johor berbanding Pas,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram mampu memainkan peranan bagi mengelakkan ‘kebanjiran’ wakil rakyat Pas di Johor.

Ujar beliau, ia dapat dilaksanakan apabila pengundi di kedua-dua kawasan memainkan peranan masing-masing pada PRK kali ini.

Idris turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang menyifatkan Pas umpama buluh runcing dan sentiasa bersedia untuk menikam dari belakang.

“Apa yang Pas tikam belakang UMNO? (Sebenarnya) Pas yang hulur tali perpaduan. Yang wujudkan perpecahan apabila UMNO sendiri tidak mahu duduk sekali dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas,” katanya.

Tambahnya, sokongan pengundi terutama dalam kalangan golongan muda ketika ini memperlihatkan perkembangan positif dan diyakini mampu membawa perubahan dalam PRK di Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!