Peranan semua pihak junjung titah Sultan Selangor

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa istiadat pelantikan Menteri Besar di Istana Alam Shah, Klang pada minggu lalu bukanlah satu teguran ‘biasa-biasa’ tetapi penuh hikmat dan tersirat.

Baginda dengan tegas menzahirkan supaya pentadbiran negerinya memberi tumpuan penuh terhadap usaha meningkatkan keperluan asas rakyat berbanding politik.

Apabila Sultan Sharafuddin menekankan bahawa ‘wakil rakyat cukup-cukuplah berpolitik’, ia membawa maksud baginda dapat membaca serta membuat telahan mengenai keadaan dalam pentadbiran negeri berdasarkan komposisi kerusi di antara pihak kerajaan negeri dan pembangkang.

Sebagai seorang ketua negeri, baginda melihat pada kaca mata ‘non-partisan’ dan sentiasa memahami keluh-kesah rakyatnya yang mahukan kestabilan serta pembelaan daripada kerajaan negeri.

Atas keprihatinan itulah, baginda menitahkan supaya kesemua wakil-wakil rakyat di Selangor lebih memikirkan masa depan negeri khususnya dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu kehidupan seharian rakyat.

Malah, baginda turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi Selangor terutama berkaitan prestasi eksport dan pelaburan negeri yang mula ketinggalan berbanding Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Jika dilihat rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Mei 2022, Selangor menyumbang 24.1 peratus eksport utama negara iaitu kedua tertinggi selepas Pulau Pinang yang mencatatkan peratusan tertinggi dengan kadar 26.3 peratus.

Bagaimanapun, kedudukan Selangor menyusut pada Januari 2023 apabila menduduki tempat ketiga dalam sumbangan eksport negara dengan kadar 16.6 peratus di bawah Pulau Pinang (32.4 peratus) dan Johor yang mencatatkan kadar 19.3 peratus.

Jika diteliti daripada perangkaan itu, tidak hairanlah apabila Sultan Selangor menuntut pentadbiran dan wakil-wakil rakyat negeri mengambil tindakan segera ke atas prestasi dan reputasi ekonomi Selangor.

Namun, tuntutan Sultan Selangor itu seharusnya dilihat dalam konteks luas, bukan hanya tertumpu kepada tanggungjawab Menteri Besar atau anggota Exco Kerajaan Negeri sahaja.

Ia sepatutnya mengambil kira juga peranan semua pihak sama ada pegawai kerajaan, agensi-agensi sehinggalah wakil-wakil rakyat pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!