Gunung sampah terbakar di Bandung
BANDUNG - Sejak awal minggu lalu, perintah darurat selama 21 hari diisytiharkan di wilayah berpopulasi paling padat di Indonesia selepas kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah menghasilkan jerebu tebal dan asap busuk.
Kebakaran gunung sampah di Tapak Pembuangan Akhir (TPA) Sarimukti di Cipatat, kabupaten Bandung Barat di Jawa Barat dilaporkan bermula sejak 19 Ogos lalu dan berterusan selama lapan hari berturut-turut hingga memaksa penutupan sementara operasi premis tersebut.
Kira-kira 67 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran turut didiagnos menghidapi jangkitan pernafasan ringan dan dua terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerana kesan daripada asap toksik itu.
“Asap tebal itu mengganggu aktiviti harian termasuk sesi persekolahan,” kata Amin Bunyamin yang merupakan pengetua sebuah sekolah agama yang terletak enam kilometer dari lokasi tersebut.
Pemerintah tempatan mendakwa kebakaran itu berpunca daripada pembuangan puntung rokok.
Susulan itu, pihak berkuasa menggesa penduduk supaya lebih bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran sivik terutamanya ketika musim kemarau yang sedang melanda negara tersebut.
Sebanyak 30 jentera bomba turut dikerahkan ke TPA seluas 25 hektar tersebut untuk mengawal kebakaran itu, namun usaha mereka gagal.
Kekurangan jentera pemadam kebakaran dikatakan menyukarkan lagi operasi pemadaman api tersebut dan bomba terpaksa meminta bantuan helikopter bom air milik Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).
Pasukan bomba mendakwa cuaca panas dan angin kencang menyebabkan api semakin marak serta memusnahkan kira-kira 15 hektar kawasan.
Difahamkan, bandar-bandar besar di Jakarta berdepan masalah kekurangan infrastruktur pengurusan sisa moden untuk memproses timbunan sampah pepejal pada setiap hari.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga mengumumkan lokasi pengumpulan sementara di mana penduduk diminta menguruskan sendiri proses pelupusan sisa sampah.
Ketika ini, trak-trak yang membawa sampah juga tidak dapat beroperasi seperti biasa dan dikhuatiri mengakibatkan timbunan sisa pepejal.
Lori berkenaan terpaksa diparkir di tepi jalan dan barisan trak sampah itu dilaporkan sudah sepanjang lima kilometer selepas akses ke TPA ditutup.
Pada Khamis lalu, Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil memaklumkan agensi geofizik sedang cuba melakukan pengubahsuaian cuaca di kawasan tersebut.
“Mudah-mudahan hujan dapat mengawal api daripada terus marak,” ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!