Tak wajar protes modul Hadis 40 tanpa usul periksa - Mufti
GEORGETOWN - Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkenalkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah diharap mampu melahirkan generasi umat Islam yang lebih terbuka terhadap kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam kalangan warga Malaysia.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, usaha pengenalan modul itu juga dilihat dapat menyumbang kepada keharmonian negara.
Sehubungan itu, Wan Salim berkata, langkah tersebut tidak wajar ditentang seperti yang dilakukan beberapa pihak sebaliknya perlu mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai modul tersebut terlebih dahulu.
"Pihak yang menentang cadangan KPM untuk memperkenal modul penghayatan hadis 40 karya Imam Nawawi perlu mendapat maklumat yang jelas terlebih dahulu tentang kandungan hadis-hadis yang terkandung di dalam koleksi tersebut.
"Tindakan memprotes cadangan tersebut tanpa usul periksa adalah tidak wajar sama sekali. Apa lagi jika bantahan ini didorong oleh niat untuk meraih kepentingan politik murahan dengan meminggirkan kepentingan negara dan rakyat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Selain itu, kata beliau, pihak yang membantah cadangan tersebut perlu memberi perhatian kepada penjelasan yang diberikan oleh KPM dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bahawa modul berkenaan hanya disasarkan kepada guru dan pelajar beragama Islam di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
"Tujuan memperkenalkan modul ini adalah untuk memupuk semangat ihsan (kebajikan) dan kasih sayang antara manusia tanpa mengira latar belakang keturunan, agama dan budaya.
"Tujuan berkenaan diharap boleh dicapai menerusi kefahaman yang betul tentang agama Islam sebagai agama rahmat selain menganjurkan sikap toleransi serta saling menghormati antara satu sama lain, walaupun berbeza pegangan agama dan kebudayaan," katanya.
Wan Salim menambah, rakyat Malaysia bukan beragama Islam perlu faham bahawa pandangan ekstrem dan yang memusuhi orang bukan Islam adalah berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap ajaran-ajaran Islam itu sendiri.
"Kumpulan-kumpulan seperti Da’ish yang memperjuangkan penubuhan negara Islam di Iraq dan Sham (Siria-Lubnan) dengan sewenang-wenangnya membunuh sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap ajaran Islam yang sebenar," katanya.
Sebelum ini, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang.
Menurut KPM lagi, ia sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.
Menurutnya, ia akan dilaksanakan secara rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 buah SMKA dan 228 buah SABK seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Modul Hadis 40 Imam Nawawi: Tiada paksaan kepada bukan Islam - PM
61 SMKA, 228 SABK terlibat Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi - KPM
MUIS sokong pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi pelihara keharmonian masyarakat
KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bantu bentuk akhlak pelajar
'Usah jadi hero dalam isu hadis 40' - Ahmad Fadhli
KPM sedia bincang kekeliruan pelaksanaan modul penghayatan hadis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!