Loji Biogas RISDA pemangkin kelestarian alam sekitar
Projek strategik kerajaan melibatkan kerjasama di antara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan Alliance Concord Green Sdn Bhd (ACG) itu berkeupayaan menjana tenaga elektrik kira-kira 14.8 juta kilowat jam (KWj) setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek itu merupakan inisiatif kerajaan selaras dengan Aspirasi Negara Rendah Karbon menjelang tahun 2040.
Malah, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu memberitahu, proses rawatan sisa industri sawit melalui projek kilang tersebut akan memberi impak besar kepada kelestarian alam sekitar menerusi pengurangan pelepasan karbon dioksida iaitu sekitar 72,000 tan metrik setahun.
"Melalui projek ini, sisa atau bahan buangan (daripada industri sawit) diubah menjadi sumber yang mempunyai nilai ekonomi untuk manfaat masyarakat. Usaha ini adalah langkah penting bagi mencapai sasaran negara ke arah penghasilan 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.
"Justeru, sejajar dengan pelaksanaan projek ini, masyarakat desa (luar bandar) berpotensi menerima pelbagai manfaat dari segi ekonomi dan ekologi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Biogas Kilang Sawit RISDA Ulu Keratong, di sini pada Ahad.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Eksekutif ACG, Tan Sri Mohd Hussin Abd Hamid.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, projek kilang biogas tersebut akan mewujudkan lebih banyak akses kepada masyarakat luar bandar dari segi peluang pekerjaan, kemudahan prasarana asas serta bekalan tenaga alternatif yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
"Penghasilan tenaga elektrik daripada projek itu berupaya menyelesaikan masalah akses bekalan elektrik di sebahagian kawasan di desa dan pedalaman. Inisiatif ini bukan hanya menjadikan sumber tenaga lebih lestari, tetapi turut membuka pintu ke arah pembangunan yang lebih inklusif," jelasnya lagi.
Tambah Ahmad Zahid, pembangunan Projek Biogas Kilang Sawit RISDA itu dijangka akan mengambil masa selama tiga tahun dengan keupayaan operasi optimum selama 21 tahun.
Berdasarkan tempoh operasi kilang itu katanya, ia diyakini mampu memberi kesan rantaian kepada persekitaran ekonomi setempat khususnya kewujudan pelbagai aktiviti perusahaan kecil dan sederhana (SME).
"Selain manfaat kepada RISDA melalui perkongsian pendapatan dan sewaan tanah, projek ini akan membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat terutama penduduk sekitar Ulu Keratong khususnya daripada golongan muda,” ujarnya.
“Projek ini bukan bersifat kosmetik, sebaliknya telah menerima akreditasi daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui pengiktirafan Insentif Cukai Teknologi Hijau. Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mempromosikan pelaburan ekonomi hijau serta pembangunan masa depan negara yang lebih mapan dan berdaya saing,” ujarnya.
Katanya lagi, projek kilang biogas itu juga akan membuka potensi ke arah pembangunan inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) sekali gus menyemarakkan sektor pendidikan menerusi kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
"Projek ini akan menjadi sebuah platform yang mana sektor akademik dan industri boleh bersama-sama meneroka serta memperkembangkan potensi teknologi hijau," katanya yang memungkinkan penerokaan teknologi baharu dapat dicetuskan sekali gus memberi nilai tambah kepada industri sawit negara dan seumpamanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!