Anugerah TikTok: Aeril Zafrel menang Celebrity Creator of The Year
SELEBRITI dan pempengaruh media sosial, Aeril Zafrel diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Celebrity Creator of The Year di Anugerah TikTok Malaysia 2023.
Aeril Zafrel atau nama sebenarnya Suhairil Sunari berkata, kejayaan pada malam itu merupakan pengiktirafan buat kesemua pencipta kandungan termasuk dirinya selain menganggap selebriti dan TikToker (pengguna TikTok) sama sahaja.
“Sebenarnya malam ini (Anugerah TikTok Malaysia 2023) lebih kepada menghargai content creator (pencipta kandungan), sisi selebriti ini hanya lah sampingan tetapi apabila sudah dicalonkan, ini satu penghargaan juga buat saya.
“Sebab media sosial TikTok sekarang ini boleh dikatakan perkara-perkara tular mesti bermula daripada TikTok.
“Jadi, saya rasa antara selebriti dan content creator tiada beza pun kerana hampir kesemua selebriti main TikTok,” katanya menerusi video pendek di Facebook pada Ahad.
Acara yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu merupakan anugerah terbesar anjuran platform media sosial TikTok buat julung kalinya untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan daripada pelbagai latar belakang serta bidang berbeza.
Pemenang lain ialah Khairul Aming yang memenangi Creator Of The Year, Ryan Bakery (Popular Creator of the Year), Ikhmal Nour (Popular Rising Star of the Year), Anas Zahrin (Popular TikTok Shop Creator of the Year) serta Upin & Ipin (Popular Animation Account of the Year).
Selain itu, Tiger Labu (Popular Live Creator of the Year), Shahira Azlan (Best of Fashion & Beauty), Eiqa Malek (Best of Entertainment, Sultan Riq (Best of Gaming), Khalish Fitness (Best of Sports), Sir Asai (Best of Education) dan Syifa Jamil (Best of Foodie).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!