Mahasiswa UMS hilang kaki, tangan nekad teruskan pengajian
KOTA KINABALU - Dunia seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) seakan-akan gelap sebaik saja bangun daripada koma apabila melihat kedua-dua belah tangan dan kaki telah tiada.
Itu yang terjadi terhadap Dayangku Siti Mashitah Awangku Sulaiman, 22, yang koma hampir sebulan selepas mengalami jangkitan kuman akibat komplikasi apendiks yang dihadapinya.
Namun ia tidak mematahkan semangat gadis malang ini untuk meneruskan kehidupan dan berhasrat untuk meneruskan pengajiannya yang tertangguh sejak dua bulan lalu.
"Saya bersemangat sebab ibu bapa saya sentiasa berada di samping saya dan mereka selalu beri semangat.
"Semasa saya bangun daripada koma, saya nampak mereka dan ketika itu saya sedar kaki dan tangan telah tiada. Saya reda kerana itu semua milik Allah dan saya hanya mahu hidup ketika ini.
"Saya juga mahu meneruskan pengajian sehingga berjaya dengan apa cara sekalipun," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, Dayangku Siti Mashitah berkata, untuk merealisasikan impiannya itu dia berharap akan mendapat kemudahan yang bersesuaian dengannya nanti.
"Saya difahamkan ada kemudahan canggih untuk orang seperti saya. Jadi saya berharap akan mendapat kemudahan itu nanti apabila sudah bersedia meneruskan pengajian.
"Saya mungkin dapat keluar dari hospital dalam tempoh dua minggu lagi. Saya sendiri tidak sabar untuk memulakan pembelajaran secara dalam talian nanti," kata penuntut Tahun 2 jurusan Hubungan Antarabangsa itu.
Sementara itu, bapanya Awangku Sulaiman Awangku Hamid, 54, berkata, dia yang hanya bekerja sebagai nelayan tidak mampu untuk menyediakan pelbagai kemudahan untuk anaknya itu nanti.
"Jadi kami sangat mengalu-alukan sumbangan terutama dari segi kaunseling dan jika diberikan kemudahan untuk pembelajarannya, kami sangat berterima kasih," katanya.
Sumbangan boleh juga boleh disalurkan terus ke akaun ibu Dayangku Siti Mashitah, Samariah @ Lizah Binti Matnor melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1210041100144570 atau boleh berhubung terus di talian 014-3271496.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dalam lawatannya berkata, pihak kementerian bersama UMS akan melihat kaedah terbaik untuk memudahkan urusan mahasiswa berkenaan supaya dapat meneruskan pengajiannya nanti.
"Kehadiran pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah sebagai tanda sokongan kepada pelajar dan ahli keluarga mereka serta komitmen keprihatinan berterusan kementerian terhadap kebajikan dan kesejahteraan siswa kita," katanya semasa menyalurkan bantuan bagi pihak Yayasan Kebajikan Siswa (YKS) kepada waris pelajar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!