Nelayan hilang: Petunjuk baharu bot karam dikesan

Tali pukat dan bouy yang terapung memberi petunjuk baharu lokasi bot karam.
Tali pukat dan bouy yang terapung memberi petunjuk baharu lokasi bot karam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tali pukat dan 'bouy' yang terapung merupakan petunjuk lokasi baharu bot nelayan tempatan yang dilaporkan hilang sejak 7 Mei lalu di kedudukan 17.2 batu nautika barat Pulau Rebak, Langkawi.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, lokasi itu berjaya dikesan berikutan penemuan sebuah bot karam di sekitar lokasi kejadian semasa Operasi Carilamat yang memasuki hari ketiga.

Menurutnya, aset yang menyertai operasi turut menjumpai tali pukat serta bouy yang terapung namun tiada mangsa yang ditemui.

"Operasi Carilamat yang ditangguhkan semalam akan diteruskan pada hari ini bermula jam 7.30 pagi dan kerja-kerja menunda bot akan dilakukan oleh pemiliknya," katanya.

Bot yang dilaporkan hilang dikesan karam sekitar lokasi kejadian.
Bot yang dilaporkan hilang dikesan karam sekitar lokasi kejadian.

Beliau berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi akan meneruskan Operasi Carilamat dalam usaha untuk mencari dan mengesan mangsa bot karam.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Mei lalu, satu laporan dibuat pemilik bot Kelas C berpendaftaran KF 4674 berhubung kehilangan bot dinaiki empat awak-awak Thailand setelah gagal menghubungi mereka sejak beberapa hari lalu.

Maklumat dari nelayan lain memaklumkan dua buah bot dari Pangkalan Kuala Perlis telah keluar ke laut untuk memukat ikan.

Namun pada 5 Mei 2019 jam 7 pagi, kehilangan sebuah bot disedari oleh nelayan lain selepas dilanda ribut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!