19 premis getah dikompaun gagal guna aplikasi RRIMNiaga

Kegagalan peniaga getah menggunakan RRIMniaga mengakibatkan pekebun kecil tidak menerima insentif-insentif daripada kerajaan. - Gambar hiasan
Kegagalan peniaga getah menggunakan RRIMniaga mengakibatkan pekebun kecil tidak menerima insentif-insentif daripada kerajaan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 19 premis perniagaan getah berlesen dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dikompaun menerusi operasi ‘OPS Patuh RRIMniaga' yang diadakan di beberapa buah negeri sepanjang tempoh Januari hingga 15 Ogos 2023 kerana didapati gagal menggunakan aplikasi RRIMNiaga.

Menurut LGM dalam satu kenyataan, tindakan penguatkuasaan itu selaras dengan Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan (6)(2).

Katanya, jika disabitkan dengan kesalahan, pemegang lesen tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Berkuat kuasa 1 Januari 2021, peniaga getah berlesen dengan LGM telah diwajibkan mengguna pakai aplikasi RRIMniaga untuk merekod urus niaga getah.

"LGM sedang mempergiatkan 'OPS Patuh RRIMniaga' pada tahun ini bagi memastikan peniaga getah mengguna pakai RRIMniaga secara konsisten selaras dengan dasar kerajaan untuk melestarikan industri getah dan mempunyai pangkalan data yang komprehensif ke arah kebolehkesanan," ujarnya pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, melalui data RRIMniaga, bantuan-bantuan kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) disalurkan secara terus ke akaun bank pekebun kecil.

"Mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat LGM. Kegagalan peniaga getah menggunakan RRIMniaga mengakibatkan pekebun kecil tidak menerima insentif-insentif ini.

"LGM mengambil perhatian serius mengenai keingkaran peniaga getah berlesen mengguna pakai RRIMniaga kerana ia akan membantutkan usaha kerajaan menyalurkan bantuan segera kepada pekebun kecil getah," jelasnya.

Dalam pada itu, LGM turut menegaskan mana-mana peniaga getah masih gagal mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk membatalkan lesen mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!