Pavement-AI atasi masalah aduan jalan berlubang di Shah Alam

Nor Fuad (empat dari kiri) pada majlis menandatangani MoU projek perintis Pavement-AI dengan Urban Explorer Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Nor Fuad (empat dari kiri) pada majlis menandatangani MoU projek perintis Pavement-AI dengan Urban Explorer Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia menggunakan pendekatan inovatif melalui aplikasi ‘Pavement-AI’ bagi menyelesaikan aduan jalan berlubang.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, sistem itu mengintegrasikan teknologi terkini termasuk Kecerdasan Buatan (AI) ke dalam proses pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya.

Menurutnya, melalui aplikasi ‘Pavement-AI’ ini, MBSA menyasarkan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dalam memberikan maklum balas pelanggan.

"Ia sekali gus menangani aduan berkaitan jalan berlubang di kawasan MBSA.

"Ini termasuk memastikan proses penyelesaian aduan jalan berlubang yang lebih pantas dan cekap, " katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini MBSA dan Urban Explorer Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek perintis ‘Pavement-AI’ bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 13 di sini.

MoU itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Urban Explorer Sdn Bhd, Ahmad Fuad bin Hamzah.

Usahasama itu merupakan inisiatif MBSA melalui Jabatan Kejuruteraan untuk menambah baik kerja-kerja pemantauan jalan berlubang di kawasan MBSA seterusnya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Projek perintis ini telah dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui geran program National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) kepada Urban Explorer Sdn Bhd.

MBSA berkata, antara kelebihan penggunaan aplikasi ‘Pavement-AI’ ialah dapat menghubungkan aduan awam yang telah diterima melalui platform lain seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA).

Tambahnya, aplikasi tersebut dapat memberikan lokasi aduan jalan berlubang secara tepat agar tindakan segera boleh diambil untuk pembaikan.

"MBSA dan Urban Explorer Sdn Bhd akan memberikan komitmen secara berterusan bagi memastikan tindakan pemantauan jalan berlubang yang efektif melalui penubuhan data rangkaian jalan raya komprehensif, pembangunan penyelesaian penjagaan jalan yang berdaya tahan, dan menjadi lebih responsif kepada pengguna jalan raya.

"Ini selari dengan usaha MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Raya Pintar," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!