Jentera penyudah Kelantan United tumpul

Ailton
Ailton
A
A
A

PENGENDALI Kelantan United, Ailton Silva mendedahkan ketumpulan penyudah menjadi masalah paling besar yang sedang dihadapi oleh pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Ailton berkata, situasi itu menyebabkan banyak peluang yang dicipta gagal diterjemahkan dalam bentuk gol.

"Penyudah tumpul adalah masalah utama. Kita berjaya cipta banyak peluang tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol sedangkan Sri Pahang mencipta peluang sama banyak dengan kita tetapi mampu mencetak sehingga lima gol," katanya.

Menurut beliau, Kelantan United bermula dengan baik apabila menguasai perlawanan sehingga memberi kesukaran kepada lawan.

Ujarnya, situasi itu berubah apabila lawan berjaya mendapatkan jaringan pada minit ke-10.

"Bagi kami, situasi sebegitu tidak mudah kerana pemain-pemain memerlukan keyakinan untuk bermain dan terus berjuang," katanya.

Pada perlawanan itu, gol-gol kemenangan Sri Pahang masing-masing diledakkan oleh Mohd Azrif Nasurulhaq (minit ke-10), Sergio Aguero (minit ke-22, 27), Kpah Serman (minit ke-66) dan David Rowley (minit ke-90).

Gol sagu hati Kelantan United pula dijaringkan oleh Royyizat Daud pada minit ke-77.

Kekalahan itu menyaksikan Sang Kijang Hijau kekal ditangga ke-12 Liga Super dengan mengumpul lapan mata.

Sri Pahang FC berada di landasan terbaik untuk memintas Sabah FC selepas memperoleh 40 mata berbanding skuad Badak 42.

Bagaimanapun, Sri Pahang kurang dua perlawanan daripada Sabah FC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!