Jengka 24 meriah dengan Jalur Gemilang

Penduduk bergotong-royong memasang Jalur Gemilang di Felda Jengka 24, Jengka. Hiasan Jalur Gemilang dibuat menggunakan kreativiti masing-masing.
Penduduk bergotong-royong memasang Jalur Gemilang di Felda Jengka 24, Jengka. Hiasan Jalur Gemilang dibuat menggunakan kreativiti masing-masing.
A
A
A

JENGKA - Tinggal beberapa hari menjelang sambutan Hari Kebangsaan, penduduk di Felda Jengka 24 di sini kian rancak melakukan pelbagai cara untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

Semangat patriotik kira-kira 2,000 penduduk sekali lagi dizahirkan dengan tradisi tahunan mereka iaitu menghiasi penempatan tersebut dengan ribuan Jalur Gemilang.

Razak menyasarkan memasang lebih 6,000 Jalur Gemilang melibatkan 330 buah premis.
Razak menyasarkan memasang lebih 6,000 Jalur Gemilang melibatkan 330 buah premis.

Ketua Penerokanya, Razak Daud, 63, memberitahu, tahun ini mereka telah memulakan gotong-royong memasang bendera selain membina arca dan replika hasil kreativiti masing-masing sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, tahun ini, mereka menyasarkan memasang lebih 6,000 Jalur Gemilang melibatkan 330 buah rumah serta premis-premis seperti sekolah, pejabat, masjid, kedai di penempatan terbabit.

"Setiap rumah pasang sekurang-kurangnya 20 bendera dan kita galakkan 50 bendera termasuk bendera besar dan kecil.

"Seperti biasa, penduduk bersemangat dan mengeluarkan duit sendiri untuk memasang serta menghiasi kediaman mereka dengan kreativiti dan inovasi masing-masing," katanya.

Tambah Razak lagi, aktiviti itu tambah bermakna dengan penglibatan golongan muda yang turut teruja menyumbangkan tenaga, masa dan idea masing-masing untuk menghiasi Jengka 24 dengan lebih menarik setiap tahun sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Sebahagian penduduk yang terlibat ceria dan bersemangat merancakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan.
Sebahagian penduduk yang terlibat ceria dan bersemangat merancakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan.

"Itu yang kita mahu tanamkan di kalangan generasi muda dengan tradisi yang kita jalankan setiap tahun.

"Suasana ini amat dinanti-nantikan penduduk serta pengunjung yang tertarik melihat sambutan bulan kemerdekaan yang sangat meriah di sini," ujar Razak.

Usaha itu berbaloi apabila Felda Jengka 24 muncul juara tiga kali berturut-turut kategori Kampung Patriotik sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat Felda Wilayah Jengka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!