Lima nelayan ditahan bersama bot kenka

Bot kenka, lima nelayan dan semua barang rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
Bot kenka, lima nelayan dan semua barang rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
A
A
A

GEORGETOWN - Lima nelayan warga tempatan ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang ketika sedang leka menangkap ikan awal pagi tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kesemua nelayan berusia lingkungan 29 hingga 41 tahun itu ditahan di perairan Pulau Pinang pada kedudukan 3.3 batu nautika dari Tenggara Pulau Rimau.

Menurutnya, nelayan tersebut ditahan bersama sebuah bot kenka ketika sedang memukat ikan pada jam 1.20 pagi tadi.

"Ketika anggota APMM sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan negeri ini, kita telah mengesan sebuah bot kenka sedang memukat dalam keadaan mencurigakan.

"Setelah pemeriksaan dilakukan, ada lima nelayan warga tempatan berada dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(b) kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tersebut tidak diusahakan sendiri oleh pemilik bot," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Beliau berkata, pihaknya merampas segulung pukat, 35 bakul, dua tong ikan, satu cangkuk ikan dan satu penyeduk ikan.

"Kita turut merampas ikan campur anggaran berat 80kg. Kesemua rampasan dan lima nelayan itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut.

"APMM akan terus meningkatkan lagi pemantauan dan rondaan dalam membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang jenayah di laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!