Kelantan ketengahkan golongan muda sempena Malaysia #QuranHour
KOTA BHARU - Rumah Ngaji Kelantan mengetengahkan golongan muda sebagai kelainan sempena Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos ini.
Timbalan Pengerusinya, Datin Norhani Mohd Affandi berkata, usaha itu selari dengan tema tahun ini iaitu ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’.
"Jika sebelum ini program Malaysia #QuranHour selalunya diuruskan oleh golongan berumur manakala anak-anak muda hanya sebagai pembantu dan peserta.
"Tetapi kali ini sesuai dengan tema, semua perkara kita serahkan kepada anak-anak muda untuk laksanakan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, penglibatan golongan muda dizahirkan bermula dari aspek pengurusan, peserta, pengerusi majlis dan bacaan al-Quran pada program itu nanti.
Ujarnya, dengan cara ini ia memberi peluang kepada generasi pelapis untuk merasai dan mendapat pengalaman bagaimana menjadi pemimpin.
Norhani memberitahu, pada hari kejadian peserta yang hadir akan melihat sendiri bagaimana program ini dikendalikan dan dimeriahkan oleh golongan muda.
"Kami yang berusia ini cukup sekadar hadir memberi semangat," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan Rumah Ngaji Kelantan dengan kerjasama ahli jawatankuasa Masjid Muhammadi akan menumbangkan seekor lembu sempena Malaysia #QuranHour.
Majlis yang bakal diadakan di Masjid Muhammadi itu bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada Rabu sehari sebelum negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-66 tahun.
Malaysia #QuranHour kali ini akan mengangkat tiga surah pilihan iaitu Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr serta bakal dirasmikan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!