Tukang paip warga Myanmar ugut rakan senegara diberkas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang tukang paip warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan rakan senegara di Taman Lembah Maju, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 10 malam itu, mangsa yang berada di rumah telah dibawa tiga lelaki ke kawasan Bukit Permai, Ampang untuk berjumpa dengan suspek.

"Tujuan pengadu ikut bersama tiga lelaki itu kerana suspek yang juga kenalannya itu telah mengajak untuk berjumpa bagi membincangkan isu hutang.

"Setelah sampai di lokasi tersebut, suspek telah mengugut dan meminta pengadu untuk membayar wang berjumlah RM17,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata, pengadu hanya dilepaskan selepas dia membayar RM7,000, namun suspek mengugut mangsa untuk menyelesaikan baki bayaran sebanyak RM10,000.

"Hasil maklumat risikan, kita menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Taman Cahaya, di sini, pada jam 3.30 petang semalam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati suspek mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Setakat ini, tiada sebarang rampasan daripada suspek, motif kejadian adalah dia mengaku bertindak sebagai ejen palsu yang cuba mengaut keuntungan dengan membawa masuk pengadu dan isterinya ke Malaysia melalui jalan laut," katanya.

Mohd Azam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pemerasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!