Tiga beranak cari rezeki di puncak Bukit Panau

Zaiton (duduk, kiri) bersama Noor Azni melayan pelanggan yang juga pendaki Bukit Panau. Gambar kecil: Noraini
Zaiton (duduk, kiri) bersama Noor Azni melayan pelanggan yang juga pendaki Bukit Panau. Gambar kecil: Noraini
A
A
A

TANAH MERAH - Seawal jam 7 pagi, tiga beranak dari Kampung Bukit Gading dekat sini gigih mendaki Bukit Panau setinggi lebih 255 meter untuk mencari rezeki dengan menjual makanan bergoreng dan aiskrim kepada pendaki.

Zaiton Mat Zain, 55, bersama suami, Mat Yatim Razak, 57, dan anak mereka, Noor Azni, 28, akan mendaki bukit itu dengan menggalas beg seberat lebih 12 kilogram setiap hari untuk menjual makanan itu.

Menurut Zaiton, dia dan suami mengambil keputusan menjual di puncak bukit itu dua tahun lalu berikutan harga getah yang murah.

"Ada masanya kami tidak dapat menoreh getah kerana hujan selain harga yang terlalu murah dan tidak berbaloi," katanya ketika ditemui di puncak bukit itu.

Zaiton memberitahu, kini rutin harian mereka mendaki puncak bukit dan menjual makanan termasuk beberapa jenis minuman ringan pada harga sekitar RM2.

"Pada mulanya agak sukar memanjat bukit yang dipenuhi akar dan tanah licin terutama ketika hujan.

"Bagaimanapun, alah bisa tegal biasa dan kami mula dapat menyesuaikan diri dengan memanjat dan menuruni bukit ini setiap hari," katanya.

Tambahnya, mereka akan menjual makanan dalam tempoh kira-kira empat jam walaupun ada ketikanya jualan tidak dapat dihabiskan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun jelasnya, jualan akan meningkat pada musim cuti persekolahan tetapi ada ketika mereka akan membawa makanan turun semula kerana tiada pelanggan.

Tiga beranak itu antara tiga atau empat keluarga yang berniaga di atas puncak bukit berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang ditemui, Noraini Jaya, 50, dari Kampung Bukit Mas, dekat sini berkata, pendaki mula berkurang sejak pandemik Covid-19.

Noraini mendaki bukit selama 30 minit untuk menjual antara lima hingga enam jenis aiskrim setiap hari.

"Saya kini sudah biasa mendaki dan tidak menjadi masalah berbanding ketika permulaan berniaga tiga tahun lalu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!