ADUN Bersatu jadi Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan

Muhammad Noraffendy
Muhammad Noraffendy
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang mewakili blok Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh berkata, keputusan itu dibuat oleh pucuk pimpinan PN, namun siapa yang dinamakan masih belum diputuskan.

"PN telah putuskan yang Ketua Pembangkang di Negeri Sembilan akan dipilih daripada Bersatu dan di Negeri Sembilan ini kita ada dua ADUN Bersatu.

"Ia boleh jadi ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad atau ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, PN menang di DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu yang mana tiga daripadanya diwakili Pas.

Selain itu katanya, satu sekretariat khas akan dibentuk bagi membantu lima ADUN PN memantau perjalanan kerajaan negeri selain memastikan gabungan itu dapat memainkan peranan sebagai pembangkang dengan lebih efektif.

Ujarnya, sekretariat itu bukan sahaja terdiri daripada kepimpinan parti tetapi juga badan bukan kerajaan(NGO).

"Sekretariat ini bukannya mahu mengawal wakil rakyat tetapi kita nak membantu membawa usul-usul yang lebih komprehensif kepada Dewan.

"Ini kerana kesemua ADUN kita tiada pengalaman sebagai wakil rakyat, jadi perlunya untuk kita sama-sama memainkan peranan sebagai semak dan imbang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!