Malbatt: Misi Bakara pupuk semangat patriotik menerusi kisah benar

Menurut Adrian, setakat empat hari tayangan filem berkenaan mereka berjaya mencatat kutipan RM4 juta.
Menurut Adrian, setakat empat hari tayangan filem berkenaan mereka berjaya mencatat kutipan RM4 juta.
A
A
A

FILEM 'Malbatt: Misi Bakara' diyakini mampu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penonton kerana ia berdasarkan kisah misi dan perjuangan sebenar anggota Batalion Malaysia (Malbatt).

Pengarah filem, Adrian Teh berkata, misi itu menyaksikan tindakan berani mati anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis daripada Malbatt 1 menyelamatkan 70 anggota tentera Amerika Syarikat atau US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia pada 1993.

"Saya melihat ada unsur-unsur patriotik sebab dalam Malbatt: Misi Bakara ini saya berani cakap adegan yang ada dalam filem itu telah mendapatkan pengesahan daripada pihak Tentera Darat Malaysia serta mereka yang ada dalam misi itu.

"90 peratus tepat dan mereka setuju dengan jalan penceritaan ini. Selain itu, saya melihat komen penonton di sosial media tentang filem ini sangat baik serta menaikkan semangat patriotik,” katanya pada siaran Jendela Fikir Istimewa Merdeka di Radio Bernama hari ini.

Menurut Adrian, setakat empat hari tayangan filem berkenaan mereka berjaya mencatat kutipan RM4 juta.

Adrian berkata, pembikinan filem itu tercetus selepas beliau mengetahui tentang misi berkenaan melalui filem Black Hawk Down yang ditayangkan pada 2001.

"Setelah saya mengetahui pasal misi ini saya berasa sedikit marah, kerana cerita ini menceritakan tentang Black Hawk Down tetapi dalam cerita yang ditayangkan pada 2001 itu tiada kredit kepada Malbatt dan hanya sekali sebutan Malay.

"Oleh itu saya ingin menegakkan fakta bahawa anggota kita yang masuk ke kawasan itu dan selamatkan tentera Amerika Syarikat,” katanya.

Malbatt: Misi Bakara mula ditayangkan pada 24 Ogos lepas dengan menampilkan barisan pelakon antaranya Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi dan Dafi Ismail Sabri.

Ia difilemkan berdasarkan fakta dan kejadian sebenar pertempuran dua hari pada 3 Oktober 1993 di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, yang tidak begitu diketahui orang ramai.

Seramai 114 RAMD Malbatt 1 terbabit dalam misi pengaman di Somalia pada 1992 hingga 1995. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!