Polis panggil Abdul Hadi berkaitan ucapan berunsur 3R

Abdul Hadi,Mohd Shuhaily
Abdul Hadi,Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan akan memanggil Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah menghubungi Abdul Hadi untuk mempertimbangkan masa sesuai untuk dirakam keterangan.

"Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramahnya di Markas Pas, kawasan Bakri, Muar, Johor, Sabtu lalu, didapati mempunyai unsur 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja).

"Ini kerana Abdul Hadi menyentuh isu mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan yang mempunyai kaitan dengan Institusi Diraja," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata, masyarakat tidak membuat spekulasi dan memburukkan kehangatan PRK di kawasan itu.

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah mengingatkan semua pihak tidak menyentuh isu 3R semasa tempoh berkempen," katanya.

Pada Isnin media melaporkan, Abdul Hadi Awang bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman.

Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman berkata, pihaknya telah dihubungi Bukit Aman pagi Isnin untuk memberi keterangan.

Abdul Hadi menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam menjalankan tugas dan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Abdul Hadi disiasat dakwaan pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Abdul Hadi sedia beri keterangan kepada Bukit Aman

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!