Ibu hamil terima vaksin TDAP mulai tahun depan - KKM
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (TDAP) kepada semua ibu hamil di Malaysia pada tahun hadapan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif baharu ini melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil.
Menurutnya, langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.
"Pemberian vaksin TDAP kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi tersebut lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dr Zaliha berkata, bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan yang paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit tersebut, seperti pneumonia, encephalopathy (radang otak) dan kematian.
"Perkara ini berlaku kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan," jelas Dr Zaliha.
Beliau berkata, bagi tahun ini sehingga 23 Ogos sebanyak 343 kes pertussis dengan 24 kematian telah dilaporkan.
"Daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan itu, sebanyak 24 kematian dicatatkan dengan 19 kematian berlaku dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!