Perak, swasta jalin kerjasama pembangunan tenaga solar
TAIPING - Kerajaan Perak melaksanakan kerjasama strategik dengan pihak swasta dalam pembangunan tenaga solar untuk menjadikan Perak antara negeri rendah karbon menjelang 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tenaga solar ketika ini menjadi antara alternatif kepada penggunaan tenaga boleh baharu kebanyakan negara maju di dunia kerana memberikan pulangan positif kepada ekonomi selain melestarikan alam sekitar.
Menurutnya, antara kerjasama itu termasuklah Projek Solar Berskala Besar Berkapasiti 50MegaWatt (MW) Ranhill Solar I di Ladang Bikam, Bidor; pembangunan ladang solar berkapasiti 1.5MW oleh Syarikat MajuPerak di Simpang Pulai dan usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan syarikat Gading Kencana Sdn Bhd dengan pelaburan RM150 juta di Bidor.
"Kerajaan negeri sememangnya mengalu-alukan usaha pihak swasta dalam merancakkan penggunaan tenaga bersih dan boleh baharu yang secara tidak langsung mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Perak antara negeri rendah karbon menjelang 2030.
"Selain itu, kerajaan negeri juga terus komited untuk menyebarluaskan inisiatif pembangunan teknologi hijau dengan menggalakkan pemasangan panel solar PV di bawah skim pemeteran tenaga bersih 3.0," katanya kepada pemberita ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Solar Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya, Kamunting di sini pada Isnin.
Beliau berkata, inisiatif di bawah skim tersebut sudah pun dilaksanakan di bangunan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) pada tahun 2022 yang menyaksikan purata penjimatan bil elektrik mencecah sehingga 26 peratus sebulan.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan mengenal pasti lokasi yang memerlukan pemasangan lampu jalan solar pintar dan menyasarkan pemasangan 1,000 unit lampu jalan solar pintar secara berperingkat di kawasan pedalaman termasuk di perkampungan Orang Asli di seluruh negeri.
Menurutnya, dengan teknologi tersebut kos dapat dijimatkan melalui penjanaan semula tenaga elektrik seterusnya mengurangkan pelepasan karbon yang boleh mencemarkan alam sekitar.
Dalam pada itu, Saarani turut memuji usaha dilakukan syarikat Toyo Tyre Malaysia menerusi Projek Solar Toyo Tyre membabitkan 26,044 unit panel solar yang akan pasang di atas bumbung kilang Toyo dengan keluasan 96,000 meter persegi.
Menurutnya, projek itu juga sekaligus menjadi projek solar terbesar di negeri ini membabitkan pemasangan di bumbung dengan kos keseluruhan bernilai RM30 juta.
"Usaha yang dilaksanakan Toyo Tyre ini diharapkan akan menjadi contoh kepada syarikat yang lain memulakan langkah penjimatan untuk jangka masa panjang susulan peningkatan tarif elektrik yang kini kian menghambat pengguna dan industri.
"Kerajaan negeri juga sangat berbesar hati dengan pelaksanaan inisiatif korporat projek solar ini kerana ia sejajar dan menyokong prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di seluruh kilang pembuatan Kumpulan Toyo Tyre," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!