Program kemerdekaan Agrobank rai, hargai pelanggan setia
BERSEMPENA bulan kemerdekaan, Agrobank menganjurkan pelbagai inisiatif dan program bertemakan kemerdekaan sebagai menghargai pelanggan setia mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, antara kempen yang dilaksanakan Campaign Snap & Win Merdeka Agrobank 2023.
Menurutnya, kempen itu merupakan pertandingan mengambil foto menarik bertemakan kemerdekaan 2023 dan perarakan Hari Kebangsaan 31 Ogos.
“Pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah ’likes’ tertinggi, gambar dan kapsyen yang menarik dengan tarikh penyertaan bermula 31 Ogos hingga 7 September ini.
“Penjurian akan dijalankan pada 11 September manakala penyampaian hadiah adalah pada Hari Malaysia iaitu 16 September,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran flag off dan perasmian perarakan kontinjen Kereta Antik Agrobank di Menara Agro Bank Jalan Lebuh Pasar di Kuala Lumpur pada Isnin.
Program berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan, Tengku Ahmad Badli berkata, bertemakan ‘Wajah Kita Harapan Negara’ seramai 100 kakitangan Agrobank terlibat perarakan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
“Tahun ini Agrobank menampilkan 30 buah kenderaan klasik iaitu kereta antik daripada pelbagai model.
“Kakitangan Agrobank juga akan memperagakan pakaian kebangsaan berbilang kaum dan bangsa sebagai simbolik terhadap kerukunan etnik pelbagai bangsa di negara ini.
Tambahnya, Agrobank turut memperkenalkan Kad Takaful Kasih Plus Edisi Merdeka Agrobank bermula 1 Ogos hingga 16 September ini.
“Kad edisi istimewa ini dilancarkan dengan menampilkan pelan perlindungan kemalangan diri bersama manfaat kematian akibat kemalangan, perbelanjaan pengebumian, hilang upaya kekal, perbelanjaan perubatan dan elaun hospital.
“Bayaran sumbangan takaful serendah tiga sen sehari, pelan perlindungan 24 jam seluruh dunia ini merangkumi kemalangan menyeluruh sehingga RM306,000,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!