Bot terbalik: Penumpang tidak pakai jaket keselamatan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

MANJUNG - Kesemua pelancong tempatan yang terlibat dalam kejadian bot penumpang terbalik di Pantai Teluk Batik di sini didapati tidak memakai jaket keselamatan diri.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan juga mendapati pengusaha bot berkenaan tidak didaftarkan untuk membawa pelancong.

Menurutnya, daripada keterangan saksi, kejadian berlaku semasa petugas bot menurunkan penumpang di tepi pantai.

"Bot tersebut didapati hilang kawalan secara tiba-tiba sehingga terbalik menyebabkan air masuk dan menenggelamkan bot.

"Kru petugas telah cuba menyelamatkan semua penumpang, namun dua daripadanya lemas dan berada dalam keadaan kritikal," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dua mangsa tersebut dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.

"Siasatan kes tersebut dikendalikan Jabatan Laut Daerah Manjung di bawah peruntukan Undang-undang Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya.

Jelas Mohamed Nordin, orang ramai perlu sentiasa mengutamakan keselamatan ahli keluarga dan anak-anak semasa berada di pantai peranginan sepanjang musim cuti sekolah ini.

"Pengusaha bot juga diingatkan untuk mematuhi peraturan ditetapkan terutama pemakaian jaket keselamatan kerana berkait dengan keselamatan pelancong," katanya.

Sinar Harian melaporkan, sembilan individu terselamat apabila bot penumpang dinaiki terbalik di Pantai Teluk Batik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai dekat sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu melibatkan dua kru dan tujuh pelancong tempatan berusia antara tiga hingga 34 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!