Jualan Gudang Karangkraf 2023 temui pengunjung tiga hari lagi
SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf buat kali kedua tahun ini kembali menemui pengunjung tiga hari lagi dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula 31 Ogos hingga 10 September nanti.
Eksekutif Pemasaran Digital Grup Buku Karangkraf (GBK), Nurul Farehah Mohd Lokman berkata, pihaknya sudah melancarkan promosi secara besar-besaran pada kali ini selain melakukan penambahbaikan untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke acara tersebut.
“Setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar, kami (GBK) sudah pun menyediakan beberapa kerangka untuk penambahbaikan.
“GBK berharap orang ramai hadir memeriahkan acara selama 11 hari ini kerana ia berlangsung semasa cuti sekolah, hari kemerdekaan dan ada juga hari yang bertindih dengan Karnival Pendidikan Sinar Bestari,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Jualan Gudang Karangkraf kali pertama berlangsung selama 10 hari bermula 27 Januari hingga 6 Februari di tempat sama dengan tawaran menarik diberikan kepada pengunjung seperti diskaun bermula dari 15 hingga 80 peratus mengikut jenis buku.
Nurul Farehah memaklumkan, antara aktiviti yang turut menjadi perhatian ramai selain jualan buku adalah pertandingan menulis mushaf al-Quran terbuka untuk semua lapisan umur.
Tambahnya, buku menulis mushaf digunakan dalam pertandingan tersebut adalah antara yang paling laris dijual menerusi laman web Karangkraf Mall daln platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan Tiktok Shop.
“Pertandingan ini terbuka untuk semua yang berminat. Seperti sebelum ini, kebanyakan yang menyertai adalah golongan remaja dalam lingkungan 10 hingga 18 tahun tetapi dewasa atau kanak-kanak juga boleh sertainya.
“Juri dalam kalangan ustaz akan menilai tulisan mushaf itu berdasarkan kekemasan dan tanda bacaan yang betul, kemudian memilih pemenang dan kami berikan hadiah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!