Dana syarikat judi: Akaun individu, syarikat bernilai RM40 juta dibeku

SPRM membekukan sejumlah RM40 juta nilai akaun individu dan syarikat berhubung dana syarikat judi kepada beberapa orang kenamaan baru-baru ini. - Gambar hiasan
SPRM membekukan sejumlah RM40 juta nilai akaun individu dan syarikat berhubung dana syarikat judi kepada beberapa orang kenamaan baru-baru ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah RM40 juta nilai akaun individu dan syarikat dibeku berhubung siasatan pemberian rasuah oleh syarikat perjudian kepada beberapa orang kenamaan baru-baru ini.

Memetik laporan Utusan Malaysia, tindakan itu diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan tangkapan 13 individu termasuk Tan Sri dan Datuk Seri yang dijalankan sebelum ini.

Sumber memberitahu, SPRM sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai berada di negara jiran dan sebuah negara Eropah sejak seminggu lalu.

"Nama individu tersebut mungkin akan didedahkan sekiranya mereka masih enggan tampil membantu siasatan, pelbagai alasan remeh diberikan termasuk perlu berada di luar negara kerana menghadiri mesyuarat.

"SPRM mungkin akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk kesan mereka sekiranya mereka masih tidak mahu pulang," katanya memetik laporan media tersebut pada Isnin.

Katanya, setakat ini tangkapan turut melibatkan seorang pengendali syarikat operator judi di Pulau Pinang.

"Suspek berumur 68 tahun itu direman tiga hari untuk siasatan lanjut berkaitan kes tersebut.

"Tangkapan individu terbabit menjadikan seramai 14 individu yang diberkas setakat ini," katanya.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan SPRM sedang mengesan beberapa individu termasuk pemimpin politik berkaitan kes menerima dana daripada beberapa syarikat perjudian untuk digunakan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), PRU-14 dan pada pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri sebelum ini.

Dana bernilai RM6 juta sehingga RM7 juta itu dipercayai diterima orang kenamaan dan pemimpin politik berkenaan selepas syarikat perjudian tersebut diberi lesen mengoperasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!