Misi 'Moon Sniper' ditunda lagi

'Moon Sniper' akan melakukan penyelidikan apabila ia berjaya mendarat di permukaan bulan. - Foto: Agensi
'Moon Sniper' akan melakukan penyelidikan apabila ia berjaya mendarat di permukaan bulan. - Foto: Agensi
A
A
A

TOKYO - Jepun pada Isnin menangguhkan misi ke bulan buat kali ketiga kerana cuaca buruk, kira-kira 30 minit sebelum pelancarannya.

Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) bagaimanapun tidak memberikan butiran tentang tarikh baharu setelah ia juga mahu mengikut jejak langkah India yang berjaya mengharumkan nama negara Asia di mata Barat kerana berjaya mendarat di kawasan kutub selatan bulan yang tidak pernah diterokai.

Berdasarkan rancangan asal, misi ‘Moon Sniper’ itu akan turut membawa satelit penyelidikan JAXA, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) serta Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Tatsuru Tokunaga dari Mitsubishi Heavy Industries yang menguruskan program itu berkata, pelancaran dari Pulau Tanegashima tersebut terpaksa ditunda kerana tiupan angin kencang.

“Keadaan itu dijangka berterusan selama tiga hari sebelum dapat membuat persediaan bagi percubaan seterusnya,” ujarnya sambil menambah, ia perlu dilakukan sebelum 15 September ini.

Misi tersebut digelar ‘Moon Sniper’ kerana JAXA merancang untuk menghantar pendarat ringan, Smart Lander for Investigating Moon (SLIM) di lokasi berhampiran kawah hentaman pada permukaan bulan digelar Shioli.

Kenderaan robotik mini itu dibangunkan syarikat permainan, SLIM yang akan melakukan penyelidikan tentang bagaimana bulan terbentuk berdasarkan komposisi batuan.

Pada tahun lalu, Tokyo pernah membuat cubaan untuk mendaratkan kenderaan robotik, Omotenashi yang dibawa misi Artemis 1 dilancarkan NASA, namun misi tersebut gagal setelah hubungan komunikasi terputus. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!