PTG Perak arah syarikat ganti tanah lain kepada rizab Melayu
IPOH - Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak sudah mengarahkan syarikat bukan Melayu yang memiliki tanah berstatus rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan untuk menukar status tanah lain milik syarikat berkenaan kepada rizab Melayu.
Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, rundingan telah dilakukan dengan syarikat berkenaan dan bersetuju untuk menukar tanah bukan rizab Melayu milik mereka di Teluk Intan dan Tapah kepada rizab Melayu.
Menurutnya, setakat ini keseluruhan tanah milik syarikat berkenaan yang telah ditukar menjadi rizab Melayu hanya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah dimiliki di Sitiawan.
"Tapi syarat saya, kita tidak akan melepaskan atau membatalkan rizab Melayu yang dibeli di Sitiawan.
"Kita tetap usahakan untuk kembali kepada rizab Melayu tetapi inisiatif syarikat itu sendiri, apa sahaja tanah pada fikiran mereka yang ada potensi untuk dibangunkan kalau tanah itu tanah putih maka akan dimasukkan dalam rizab Melayu yang hanya penjualan kepada Melayu sahaja.
"Kita harap apabila sampai ke angka yang seimbang dengan apa yang berlaku di Sitiawan, maka selepas itu kita akan buat keputusan sama ada pertambahan itu perlu dibuat lagi atau pun tidak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pada 25 Mei lalu, media melaporkan kerajaan negeri melalui PTG Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan melaksanakan beberapa tindakan berhubung isu Tanah Rizab Melayu (TRM) seluas 3,214 hektar di Sitiawan yang dikatakan telah berpindah kepada bukan Melayu.
Saarani dalam satu kenyataan memaklumkan, antara langkah awal yang telah diambil oleh PTG melalui tindakan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi kesemua tanah yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.
Sebelum ini, isu TRM seluas 3,214 hektar di Sitiawan itu hangat diperkatakan kerana sudah berpindah milik kepada bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu kepada syarikat bukan Melayu.
Pada 12 April lalu, Saarani dilapor berkata, status tanah rizab Melayu tidak akan hilang walaupun syarikat Bumiputera selaku pemilik asalnya berubah sama ada dibeli atau pegangan saham majoritinya berpindah milik kepada entiti bukan Bumiputera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!