'Teori jika PN menang di Pulai, akan tukar kerajaan Pusat tidak munasabah'
JOHOR BAHRU - Propaganda yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya kerajaan Persekutuan akan tumbang jika PN menang di Parlimen Pulai, sangat tidak munasabah.
Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai Suhaizan Kaiat, menyelar dakwaan itu selain menyifatkan dakyah yang dibawa pihak lawan itu, hanya cuba untuk mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, PH sebaliknya yakin akan mengekalkan kemenangan di Parlimen itu dengan majoriti yang meyakinkan, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
"Kalau kiraan Matamatik, 148 tolak satu (jika PN rampas Pulai) tak mengugatkan kerajaan Pusat. Mereka boleh guna apa saja untuk yakinkan pengundi, tapi secara matematiknya salah dan tak munasabah.
"Di Johor ini unik, rakyatnya lebih bersederhana dalam banyak perkara dan fikir secara rasional, sama ada propaganda itu boleh terima atau tidak,” katanya kepada pemberita pada sesi tinjauan mesra kempen PRK di pasar malam dekat Taman Sentosa, Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa jika PN menang pada PRK itu akan menjadi isyarat penting perubahan di peringkat kerajaan Pusat.
Ketika ini, komposisi kerusi di Dewan Rakyat oleh Kerajaan Perpaduan yang dianggotai PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah adalah sebanyak 148, manakala PN hanya 73 kerusi.
Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN, Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar di dua kerusi jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!