Luqman Hakim, Nooa Laine perkuat Harimau Muda

Senarai 25 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat sebagai persediaan mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand bulan depan. - Foto FB FAM
Senarai 25 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat sebagai persediaan mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand bulan depan. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara enggan menoleh ke belakang lagi apabila menyenaraikan 25 pemain termasuk dua 'tenaga' yang berpangkalan di luar negara untuk menyertai kem latihan pusat sebagai persediaan mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand bulan depan.

Pemain K.V. Kortrijk, Belgium, Luqman Hakim Shamsudin dan pemain SJK Seinajoki, Finland, Nooa Laine bakal memperkuat skuad Harimau Muda dalam misi meraih tiket pentas Asia seperti yang diraih pada edisi 2022 dan 2018.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu hantaran di Facebook pada malam Isnin memaklumkan skuad bimbingan ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E. Elavarasan itu akan memulakan kem latihan pada Rabu.

Berdasarkan barisan pemain yang diumumkan, Elavarasan mengekalkan 14 daripada 23 pemain skuad Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada 17 hingga 26 Ogos lalu.

Beberapa pemain yang menyerlah seperti Hariz Mansor, M. Rakesh, Saiful Jamaluddin dan penjaring terbanyak kejohanan, Alif Ikmalrizal Anuar turut berada dalam senarai.

Baki sembilan pemain lain yang dipanggil kali ini terdiri daripada sembilan pemain dari skuad Sukan SEA 2023 yang tidak berada dalam senarai ke Kejuaraan B-23 AFF 2023.

Mereka ialah Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, T. Saravanan, Haqimi Azim Rosli, Azrin Afiq Rusmini dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H bakal memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 itu berdepan Bangladesh pada 6 September diikuti aksi menentang Filipina pada 9 September.

Saingan terakhir peringkat kumpulan skuad Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan pasukan tuan rumah, Thailand pada 12 September.

Ketiga-tiga perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Chonburi.

Setiap juara daripada 11 kumpulan dan empat naib terbaik akan layak automatik ke Piala Asia di Qatar yang dijangka berlangsung pada bulan April tahun depan.

Malah, tiga pasukan terbaik di pusingan akhir itu nanti turut akan meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris yang dijadual diadakan pada Julai 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!