Modul Penghayatan Hadis 40 bentuk wawasan pemikiran lebih baik
SHAH ALAM - Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dapat membentuk wawasan pemikiran dan gaya hidup yang lebih baik dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar beragama Islam.
Mufti Terengganu, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, kandungan modul tersebut mempunyai banyak manfaat yang dapat menyumbang ke arah pembentukan insaniah.
“Apabila kita faham wawasan itu daripada awal maka kita akan mempunyai pelan jangka panjang dan pendek. Jadi maknanya ia cukup bermanfaat kerana setiap manusia itu kalau mereka semakin berilmu, dia akan ada wawasan itu sampai ke akhirat.
“Dengan itu, dia akan aturkan diari kehidupan dia, sama ada menghafaz al-Quran atau pengajian sampai ke ijazah kedoktoran (PhD), jadi dia akan mempunyai wawasan yang cukup hebat.
“Kandungan hadis pertama pun sudah merupakan sesuatu yang cukup besar dari segi strategi kehidupan kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 19 Ogos lepas melancarkan modul hadis itu bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, antara lain untuk memupuk semangat kasih sayang, selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.
Program rintis modul itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Walaupun telah dijelaskan bahawa pelaksanaan modul terbabit hanya kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja, namun ia telah menjadi polemik, terutama dalam kalangan penganut bukan Islam, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.
Dalam pada itu, ujar Mohamad Sabri, pelaksanaan modul itu tidak sepatutnya dipertikaikan sebaliknya perlu dihayati oleh semua golongan masyarakat masyarakat.
Menurutnya, modul berkenaan perlu mukadimah dan tafsiran menyeluruh mengikut kesesuaian supaya boleh difahami oleh semua pihak.
“Saya kira supaya tidak berlaku salah faham, ia perlu ada mukadimah dan justifikasi kenapa Hadis 40?
“Bagi saya Hadis 40 ini sebagai suatu ringkasan dasar kepada Islam itu sendiri sewajarnya difahami oleh semua,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!