KL City tak sangka ledak empat gol di Ipoh
KUALA LUMPUR (KL) City FC mengakhiri kemarau kemenangan dua perlawanan Liga Super dengan membelasah Perak FC, 4-0 di Stadium Perak,pada Ahad.
Kemenangan bergaya ke atas anak buah Yusri Che Lah itu memadamkan prestasi buruk kelab itu ketika tewas 0-2 kepada Selangor FC diikuti 2-3 kepada Sabah FC, dengan kedua-dua aksi di laman lawan.
Gembira dengan prestasi positif dipamerkan para pemainnya, bagaimanapun pengendali The City Boys,Nenad Bacina mengakui bukan sesuatu yang mudah membentuk mentaliti menang menjelang kunjungan ke Ipoh itu.
“Saya bangga dengan persembahan disajikan para pemain KL City kerana mulanya sukar meyakinkan mereka untuk kembali bermain dengan baik.
“Namun dengan keputusan diraih di Ipoh ke atas pasukan Perak FC yang prestasinya dalam momentum terbaik sebelum ini, saya gembira.
“Ya, saya tidak jangkakan jumlah jaringan seperti ini, namun apabila para pemain KL City berjaya mengawal rentak permainan, menunggu peluang, sebelum memanfaatkan peluang,” katanya selepas perlawanan.
Perlawanan di laman keramat The Bos Gaurus itu menyaksikan anak buah Bacina meledak empat gol dijanakan Tchetche Kipre minit ke-30, Sebastian Avanzini (m-47), Paulo Josue (m-56) sebelum Sean Gan Giannelli (m-88) menoktahkan kemenangan pertama pengendali berusia 52 tahun kelahiran bumi Split, Croatia berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!