Penaja teruja pertama kali sertai program Islamik

Jadwa, Suleiman
Jadwa, Suleiman
A
A
A

SHAH ALAM - Penaja bagi program Malaysia #QuranHour 2023 yang bakal berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos ini berasa teruja untuk menyertai acara berkonsepkan Islamik buat pertama kalinya.

Pengurus kanan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Jadwa Abu Bakar, 48, berkata, pihaknya berminat untuk menjadi penaja program itu kerana tertarik dengan perkongsiannya yang menekankan aspek kerohanian, berilmiah dan bermanfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, Pengarah Urusan syarikatnya, Faiza Bawumi Sayed Ahmad juga merupakan peminat setia acara tersebut dan sentiasa menonton perkongsian program berkenaan, lebih-lebih lagi acara #QuranTime yang diadakan setiap hari.

“Pengarah Urusan kami sering menggalakkan pekerja untuk menonton #QuranTime dan apabila berkesempatan menjadi penaja bagi program Malaysia #QuranHour, kami terus bersetuju.

“Justeru, diharapkan supaya program sebegini mendapat perhatian dan tontonan ramai kerana masyarakat sangat memerlukan ilmu kerohanian,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ dipilih menjadi tema bagi Malaysia #QuranHour pada kali ini dengan mengangkat tiga surah pilihan iaitu Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kueh Cafe, Suleiman Mokhtar, 40, berkata, pihaknya tidak menyangka diberi peluang untuk menaja program tersebut memandangkan ini kali pertama mereka menyertai acara Islamik.

“Ini kali pertama kami menaja program sebegini. Sebelum ini kami adalah penaja rasmi bagi program berkonsepkan hiburan di beberapa produksi media tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila mendapat peluang untuk menaja Malaysia #QuranHour, saya dan pasukan rasa teruja dan seronok biarpun sumbangannya sedikit, tetapi tetap berpuas hati.

“Daripada segi persiapan, semuanya sudah diatur dengan baik kerana difahamkan antara yang bakal hadir bersama-sama pada hari tersebut bukanlah calang-calang orang, jadi kami cuba lakukan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suleiman berpandangan, program berkenaan boleh dipertimbangkan untuk berlangsung secara mega atau di kawasan yang berskala besar contohnya di stadium.

Tambahnya, lebih ramai pengunjung yang akan hadir memeriahkan program tersebut sekiranya cadangan itu benar-benar berlaku.

“Pihak Kueh Cafe dapat menaja makanan dengan lebih banyak lagi dan mungkin juga tajaan hadiah-hadiah seperti jubah, sejadah, papan rehal serta lain-lain barangan yang berkaitan,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!