Fatwa Abdul Hadi berubah setiap kali pilihan raya - Mat Sabu

Mohamad Sabu berucap pada Ceramah Kelompok Khas pengundi Simpang Jeram bersama Pemimpin Perpaduan sempena PRK DUN Simpang Jeram di Taman Sri Kasih. - Foto Bernama
Mohamad Sabu berucap pada Ceramah Kelompok Khas pengundi Simpang Jeram bersama Pemimpin Perpaduan sempena PRK DUN Simpang Jeram di Taman Sri Kasih. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sering mengeluarkan fatwa yang berubah-ubah setiap kali menjelang pilihan raya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, contohnya sebelum ini pernah menyatakan akidah orang UMNO sudah rosak tetapi selepas itu boleh bersama dengan parti tersebut dengan alasan UMNO dan BN adalah anugerah ALLAH.

"Begitu juga boleh bersama DAP sebelum ini kerana parti ini didakwa menyokong Perlembagaan dan mendokong demokrasi bahkan selepas pilihan raya pada 2013, Presiden Pas berkempen untuk calon DAP di Teluk Intan.

"Puji DAP adalah parti yang progresif dan menjunjung Perlembagaan. Apabila bercerai (memutuskan hubungan) DAP dikatakan komunis pulak. Ini tak pelik, 'he will change in every election' tapi orang Islam percaya apa dia cakap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh di sini pada malam Isnin.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Dalam pada itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengakui terkilan dengan Abdul Hadi apabila turut sama bersekongkol menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah menerusi Langkah Sheraton.

"Sepatutnya dia tidak bersetuju bersama kumpulan Sheraton tumbangkan kerajaan, patutnya dia cakap sabar, kita sedang menuju kemenangan, sabar sikit kita boleh ambil alih (kerajaan Persekutuan) tetapi tidak sebaliknya bersama gerombolan tumbangkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Baru-baru ini dia ulang lagi, selepas PRN (pilihan raya negeri) di enam negeri akan tukar kerajaan (Persekutuan) kemudian kita menang tiga (negeri), dia (Perikatan Nasional) menang tiga (negeri). Lepas PRK (pilihan raya kecil) di Johor (dakwa lagi akan) tukar kerajaan (Persekutuan)," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan pihaknya akan terus bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan sudah menjadi prinsip serta pegangan akan memberi sepenuh komitmen atas semangat setiakawan.

"Bila berkawan dengan UMNO, aku sayang sungguh dengan UMNO sekarang. Saya bukan jenis berkasih dengan Mat Maslan (tapi) kenyit mata pada orang lain, 'no', itu perangai Pas, sekarang dia berkawan dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tapi tak tau kenyit masa dengan siapa.

"Masa dia kawan dengan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP dia kenyit mata dengan UMNO, sekarang ini dengan Bersatu. Jangan bimbang Mat Maslan kasihku kepadamu tidak berubah. Kita akan bersama termasuk di Johor di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!