Gelombang merah biru lawan gelombang hijau - Akmal
JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO akan menggerakkan gelombang biru merah bagi menangkis gelombang hijau pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, gelombang biru merah melambangkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan merupakan wajah sebenar Malaysia yang menyatukan pelbagai penduduk daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama sekali gus menolok politik ekstremis serta kebencian.
"Saya percaya orang Johor, pandai dan matang dalam membuat keputusan. Disebabkan itu, saya beritahu gelombang biru merah yang selari dengan bendera Johor akan bermula di negeri ini.
"Kita perlu pertahankan kerajaan ini. Sewaktu negara mencapai kemerdekaan dahulu tidak boleh hanya ada Melayu sahaja sebaliknya perlukan perpaduan Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan program santai bersama jentera Pemuda UMNO di Medan Selera Taman Cempaka di sini pada Isnin.
Hadir sama, calon PH bagi PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat; Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.
Muhamad Akmal menegaskan, Pemuda UMNO memberi komitmen sepenuhnya menyokong calon daripada PH yang mewakili kerajaan Perpaduan.
"Dalam soal kerjasama jentera tidak timbul masalah, tidak dinafikan ketika awal dahulu ada cabarannya tetapi selepas momentum semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu, bahangnya masih belum habis dan kali ini, dan keserasian itu berterusan pada PRK kali ini.
"Kami sokong penuh calon PH yang mewakili kerajaan perpaduan, malah saya juga sudah berjumpa dengan Pemuda Malaysia dan Johor untuk pastikan beri komitmen 100 peratus," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!