Vinicius sertai senarai kecederaan Real Madrid
PENYERANG Real Madrid, Vinicius Jr diketepikan beberapa minggu selepas pemain itu mengalami kecederaan otot paha semasa gergasi La Liga itu menang 1-0 ke atas Celta Vigo pada Jumaat.
"Ujian yang dijalankan ke atas Vinicius oleh Perkhidmatan Perubatan Real Madrid, mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan pada otot bisep femoris kanan.
"Segala proses pemulihan Vinicius Jr akan dipantau secara berterusan pihak kelab," kata kelab itu
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Vinicius akan disisihkan selama enam minggu berikutan kecederaan tersebut.
Bintang sensasi itu dijangka boleh kembali apabila Real Madrid menentang Osasuna pada 7 Oktober depan.
Sebagai rekod, skuad kendalian Carlo Ancelotti tidak memiliki ramai pemain yang boleh mengisi posisi Vinicius musim ini.
Namun, Jose Luis Mato Sanmartín berusia 33 yang dipinjamkan dari Espanol dijangka menjadi pilihan pertama untuk mengambil tempat itu pada masa ini.
Kecederaan pemain berusia 23 tahun itu adalah krisis kecederaan terbaru yang melanda Real Madrid, yang sebelum ini terlepas khidmat penjaga gol Thibaut Courtois dan pertahanan Eder Militao dijangka tidak dapat beraksi untuk baki musim ini.
Arda Guler pula akan diketepikan selama beberapa bulan selepas selesai menjalani pembedahan lutut.
Pemain tengah Dani Ceballos dan pemain pertahanan Ferland Mendy juga sedang pulih daripada kecederaan otot yang dialami beberapa minggu pertama musim ini.
Vinicius juga akan terlepas dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026, Brazil menentang Bolivia dan Peru pada September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!