Lelaki pandu kereta ketika mabuk ditahan

Operasi khas mabuk yang diadakan selama empat jam di Jalan Putra, Alor Setar, awal pagi tadi.
Operasi khas mabuk yang diadakan selama empat jam di Jalan Putra, Alor Setar, awal pagi tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 50-an ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam sekatan jalan raya di Jalan Putra, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, lelaki itu dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, berdasarkan ujian pernafasan yang dijalankan terhadap lelaki itu mendapati dia positif alkohol dan melebihi had ditetapkan.

“Pemandu itu ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut bawah Seksyen 45 A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rozi berkata, operasi khas mabuk itu bermula pada 12 tengah malam tadi dan berakhir sekitar 4 pagi dengan disertai 12 pegawai dan anggota.

“Perkara ini bukan kes baharu sebaliknya sering berlaku. Saya nasihatkan pengguna jalan raya tidak ambil jalan mudah memandu bawah pengaruh alkohol kerana membahayakan pengguna jalan raya lain serta boleh mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menggiatkan operasi selain mengambil tindakan lebih serius bagi mengesan pemandu kenderaan bawah pengaruh alkohol di kawasan-kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti.

“Sekiranya terdapat maklumat mengenai kegiatan tidak sihat ini atau sebarang jenayah, bolehlah disalurkan kepada anggota trafik atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!