Warga Malaysia kekal patriotik, taruh harapan semangat madani bina negara
KUALA LUMPUR - Semasa Malaysia bersiap untuk menyambut Hari Kebangsaan pada Khamis, satu kajian oleh Kajidata Research menunjukkan rakyat negara ini mempunyai patriotisme yang tinggi dan menaruh harapan pada Konsep Madani untuk melihat Malaysia muncul gemilang.
Kajian yang dijalankan pada Julai 2023 melibatkan 1,082 responden dari semua etnik utama dan kumpulan umur di Malaysia mendapati tahap patriotisme yang tinggi (99 peratus) dan penerimaan terhadap Konsep Malaysia Madani (80 peratus) dari sangat tinggi hingga sedikit.
Patriotisme yang sangat tinggi sentiasa menjadi sentimen dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang dilihat dalam penemuan Kajidata sejak 2013, kata Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam analisisnya terhadap data itu.
Beliau berkata, tahap kebanggaan ini tidak dilihat di banyak negara, malah di Amerika Syarikat (AS) di mana kajian Gallup pada Jun 2023 menunjukkan hanya 67 peratus warga Amerika yang sangat atau agak bangga menjadi rakyat Amerika.
Syed Arabi berkata, perbedaan fahaman politik di negara ini tidak mempengaruhi kesetiaan rakyat Malaysia terhadap tanah air mereka, berbeza dengan keadaan di AS pada masa kini di mana kajian Gallup menunjukkan penyokong Republican lebih bangga dengan negara mereka berbanding penyokong parti lain.
Mengenai Konsep Madani, majoriti terutamanya golongan bukan Melayu menerima idea itu. Konsep ini membayangkan sebuah masyarakat yang beradab, terampil, dan inklusif berdasarkan enam nilai utama iaitu kelestarian, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan ihsan.
Beliau berkata, penerimaan terhadap Konsep Madani juga disebabkan rakyat Malaysia melihat konsep itu mampu membawa perubahan yang dinantikan mereka.
Syed Arabi berkata, kajian itu juga mendapati pada tiga tahun lepas hanya 35 peratus daripada responden optimis terhadap masa depan, tetapi kini di bawah semangat Madani, ia pada 48 peratus. Mereka juga lebih optimis tentang masa depan keluarga mereka, ekonomi negara, peluang pekerjaan, dan kedudukan kewangan mereka.
Lebih separuh daripada responden dalam kumpulan umur 21-23 tahun berasa lebih yakin terhadap masa depan dan status keluarga mereka (41 peratus).
Sementara itu, penasihat Kajidata, Datuk Haris Ismail, berpandangan bahawa walaupun tahap penerimaan Konsep Madani yang tinggi adalah baik, lebih banyak perlu dilakukan oleh penjawat awam dalam melaksanakan janji yang dibuat di bawah konsep itu.
Haris mendapati penyertaan jentera kerajaan dan kerajaan negeri dalam pelaksanaan dasar-dasar Madani masih ketinggalan dan perkara itu perlu diberi perhatian untuk memastikan Konsep Madani mencapai matlamatnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!