Pergerakan masa kontinjen ditambah baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan
PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menambah baik beberapa perkara sebagai persediaan akhir sebelum sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada Khamis ini, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.
Meskipun berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan raptai penuh hari ini, beliau berkata, perkara seperti tempoh masa kontinjen perbarisan dan pergerakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu ditambah baik bagi melancarkan lagi sambutan.
"Timing antara kontinjen-kontinjen mungkin perlu ditambah baik sikit, tadi kita lihat tidak lari terlalu jauh (masa), satu dua minit, tetapi apabila kita libatkan aset-aset tentera, satu dua minit ini dikira.
"Jadi, disiplin masa itu memang sangat kita teliti, mungkin kita usaha untuk pastikan kontinjen-kontinjen diingatkan supaya move on time,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata, raptai akhir hari ini juga berjalan lancar dan semua pihak telah bersedia daripada segi persembahan, perarakan dan pertunjukan udara.
Beliau juga menyifatkan raptai penuh hari ini seolah-olah hari kejadian berikutan ramai orang awam datang untuk sama-sama memeriahkan sambutan yang bertemakan "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” itu.
Terdahulu, Fahmi sempat berjumpa 600 pelajar sekolah yang bergabung dengan kira-kira 1,000 penari dan pemain gendang dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang membuat persembahan, bagi memberikan semangat serta menzahirkan penghargaan.
Sejumlah 10 komponen kontinjen akan menyertai acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos iaitu Kenegaraan, Perpaduan Malaysia Madani, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif, Komuniti, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!