Bayi lelaki ditinggalkan atas wakaf luar pusat tahfiz
BESUT - Seorang bayi lelaki cukup sifat ditinggalkan di wakaf luar pagar sebuah pusat tahfiz di sini pada pagi Selasa.
Lebih memilukan, bayi itu diletakkan dalam bekas plastik berwarna merah sebelum disedari seorang pekerja lelaki yang sedang mengecat dalam pusat tahfiz berkenaan susulan terdengar tangisan bayi tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, seorang lelaki berusia 24 tahun menjumpai bayi tersebut di wakaf luar pagar sebuah pusat tahfiz dan dia kemudian terus menghubungi polis sekitar jam 9.20 pagi.
"Lelaki itu juga menyatakan tidak nampak sesiapa yang meletakkan bayi berkenaan. Lokasi bayi ditinggalkan itu berada di tepi jalan laluan utama serta tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
"Bayi itu telah dibawa ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan doktor, bayi tersebut cukup sifat dan stabil tetapi kekurangan oksigen.
"Anggaran kelahiran dalam tempoh 48 jam dengan berat 2.6 kilogram," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Abdul Rozak berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat jangkitan kuman pada tali pusat bayi berkenaan.
Menurut beliau, polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek terlibat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!