Wau puyuh gergasi hiasi langit sempena merdeka

Sekumpulan anak muda di Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas menunjukkan wau puyuh gergasi setinggi tiga meter.
Sekumpulan anak muda di Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas menunjukkan wau puyuh gergasi setinggi tiga meter.
A
A
A

PASIR MAS - Sekumpulan anak muda di Kampung Gaung, Tendong di sini menzahirkan semangat cintakan tanah air sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-66 dengan menghasilkan sebuah wau puyuh gergasi setinggi tiga meter.

Uniknya, wau puyuh itu dihiasi dengan warna tema Jalur Gemilang iaitu kuning, merah, putih, dan biru bagi membangkitkan lagi semangat patriotik.

Bukan itu sahaja, 11 orang anak muda sanggup bersengkang mata dengan memanfaatkan masa terluang selama tiga minggu untuk menyiapkan wau tersebut yang akan diterbangkan di Pantai Geting, Tumpat pada 31 Ogos ini.

Che Faris (tengah) dibantu awak-awak menyiapkan wau puyuh gergasi sempena kemerdekaan ke-66.
Che Faris (tengah) dibantu awak-awak menyiapkan wau puyuh gergasi sempena kemerdekaan ke-66.

Che Faris Hussin, 30, yang mempunyai pengalaman membuat wau lebih enam tahun berkata, ini merupakan julung kali mereka membuat wau gergasi bertemakan merdeka dan menelan belanja sekitar RM300.

"Walaupun nilai itu nampak kecil, namun bagi kami besar ertinya. Ini merupakan salah satu tanda terima kasih kepada pengorbanan orang-orang terdahulu dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajah.

"Jika sebelum ini kami sudah biasa hasilkan wau gergasi demi memenuhi permintaan pelanggan. Kali ini ia dilakukan demi negara. Antara yang sering menjadi pilihan ialah wau puyuh (klasik), barat, biasa, bulan, rama-rama dan banyak lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Selasa.

Menurut dia, musim monsun merupakan waktu yang sesuai untuk menerbangkan wau sehingga dia dan awak-awaknya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya yang merupakan tukang sobek, hanya dua jenis buluh yang digunakan bagi menjaga kualiti iaitu duri dan betong.

Tambah Che Faris, antara bahan lain yang digunakan ialah tali rafia, plastik warna, batang pinang dan gam.

"Dalam sebulan saya mampu menghasilkan tujuh hingga lapan wau dengan bantuan awak-awak yang berusia 11 hingga 50 tahun.

"Nilai jualan pula sekitar RM30 hingga RM320 bergantung kepada jenis corak serta kesukaran," katanya.

Ujar dia, oleh kerana kawasan tersebut mempunyai ramai peminat wau, Kelab Warisan Wau Tendong telah ditubuhkan bagi memastikan permainan tradisional itu tidak luput ditelan zaman.