[VIDEO] PRK: Bersatu terus bergantung dengan Pas - Nur Jazlan
JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat terpaksa bergantung dengan Pas pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perkara itu jelas apabila pimpinan Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hadir ke Johor membantu kempen.
"Masuk hari ketiga kempen di PRK Pulai dan Simpang Jeram, saya nampak calon dari Bersatu terpaksa berteduh bawah lindungan bulan Pas sebab mereka pasti jadi macam cacing kepanasan jika bergerak sendirian.
"Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin nampaknya ajak selebriti 15 minit dari Kedah dan tukang kempen termasuk Pak Hadi untuk bantu calon dari Bersatu berdepan dengan cabaran kempen PRK," ujarnya dalam muat naik di Facebook pada Selasa.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata walaupun warna bendera Perikatan Nasional (PN) biru pekat, namun gelombang hijau lebih menonjol.
"Selepas ini adakah Bersatu akan terus mengharapkan ihsan Pas. Selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri lalu, Bersatu tak ada yang boleh nak dibanggakan.
"Sudahlah tak ada jentera parti, mereka juga tak ada pemimpin-pemimpin selebriti macam Sanusi untuk dijadikan sandaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!