1,500 pelajar asnaf terpilih sertai PROSAZ
SHAH ALAM - Seramai 1,500 pelajar asnaf peringkat sekolah rendah dan menengah dipilih menyertai program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS dalam satu hantaran memaklumkan program anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu membabitkan 20 sekolah bertujuan menerapkan pengisian akademik, motivasi, sahsiah dan bakat pelajar.
"Antara pengisian bakal diterapkan dalam program ini adalah dari aspek akademik, motivasi, sahsiah dan bakat (soft-skill).
"Kesemua program berfokus ini bakal dilangsungkan pada September hingga 15 Disember tahun ini," kata agensi berkenaan di laman Facebooknya pada Selasa.
LZS turut berharap agar pada akhir program tersebut agensi itu bersama JPNS dapat meningkatkan kelancaran aktiviti literasi dan numerasi anak-anak asnaf fakir dan miskin, menaikkan tahap 3M (membaca, menulis, mengira) serta dapat mengurangkan peratusan bagi asnaf yang keciciran atau tidak hadir ke sekolah.
Pada Isnin, Jabatan Pengurusan Pendidikan LZS menganjurkan taklimat Program PROSAZ kepada JPNS, pegawai pejabat pendidikan daerah dan guru-guru PROSAZ.
Program itu juga bertujuan memperkasa pembangunan pendidikan peserta sekali gus dapat mengurangkan peratusan bagi asnaf yang keciciran atau tidak hadir ke sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!