Mindef sasar 200 veteran ATM terima geran SPKLB

Adly (tengah) bersama 10 penerima geran pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) ATM Negeri Pahang pada Selasa.
Adly (tengah) bersama 10 penerima geran pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) ATM Negeri Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pertahanan (Mindef) menyasarkan 200 veteren Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, daripada jumlah sasaran itu, seramai 20 veteran telah menerima geran berkenaan.

"Kita sudah menyerahkan geran kepada 20 penerima iaitu 10 penerima di Pahang dan 10 lagi penerima masing-masing di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

"Malah, kita turut menyasarkan untuk memperluaskan lagi pemberian geran ini ke negeri-negeri lain bagi mencapai sasaran 200 penerima geran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) ATM Negeri Pahang di The Awangan Palace pada Selasa.

Adly memberitahu, geran bernilai RM5,000 adalah inisiatif kerajaan melalui PUVET ATM dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai modal suntikan.

Jelasnya, ini secara tidak langsung dapat memperkasakan veteran yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

"Sebenarnya ada banyak model geran, namun setakat ini (pemberian) geran dengan KKDW, namun kita sedang berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bagi membolehkan veteran mendapat manfaat lebih besar apabila mereka terlibat dalam bidang ini (keusahawanan).

Artikel Berkaitan:

"Jadi, setakat ini, kita bagi dulu geran dalam bentuk (berjumlah) RM5,000. Kita memberi tumpuan kepada usahawan mikro terutama veteran yang berada di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau menambah, Mindef akan sentiasa berkolaborasi dengan tiga kementerian itu bagi memastikan veteran memperolehi manfaat-manfaat dari setiap kementerian ini.

“Ini antara usaha kita di mana sebahagian daripada veteran yang terlibat dalam bidang keusahawanan ini telah melalui beberapa proses penilaian dan sebahagiannya telah menerima geran sebagai modal suntikan,” ujarnya.

Sementara itu, penerima geran, Mohd Jufizan Johar, 44, berterima kasih kepada Mindef dan Perbandanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) kerana memberi peluang dan ruang kepada untuk menerima geran ini.

Dia yang merupakan pengusaha sos yong tau fu memaklumkan akan menggunakan geran itu bagi mengembangkan lagi perniagaannya.

"Saya rancang untuk menambah peralatan dan mahu memperluaskan lagi pasaran ke seluruh negara," ujarnya yang sudah menjalankan perniagaan hampir tiga tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!