Bidaan nombor plat istimewa M_M dibuka Khamis ini
PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menawarkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) prefiks M (hadapan) dan sufiks M (belakang) iaitu siri M_M.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bidaan tersebut boleh dilakukan menerusi sistem JPJeBid kepada orang awam.
"Tarikh bidaan dibuka mulai 12.01 pagi Khamis dan ditutup 4 September," katanya menerusi sidang akhbar pada Selasa.
Menurutnya, keputusan bidaan boleh disemak pada 5 September.
"Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid," katanya.
Ujar beliau, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang telah ditetapkan.
"Bagi kategori Nombor Bernilai Utama harga minimun bidaan adalah RM20,000, RM3,000 bagi nombor menarik dan RM800 (nombor popular) serta RM300 (nombor biasa)," jelasnya.
Tambah Anthony, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
"Orang awam dialu-alukan untuk menyertai bidaan NPI sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 ke-66," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!