Tiada kesesakan luar biasa di sempadan Kedah

Tiada kesesakan di pintu keluar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini.
Tiada kesesakan di pintu keluar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Operasi perkhidmatan imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan luar biasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan terkawal dengan aliran trafik di pintu keluar sempadan negara di Bukit Kayu Hitam lancar dan kenderaan dari Malaysia tidak terlalu banyak menuju ke Thailand sempena musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Rosli Issak
Rosli Issak

Ketua Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam,Penolong Pengarah Imigresen Rosli Issak berkata, kesesakan biasanya berlaku ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu sahaja.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, kesesakan berlaku pada kadar biasa sahaja dan tidak ramai di sempadan Bukit Kayu Hitam tersebut.

"Di Utara, sebagai contohnya Bukit Kayu Hitam ini, kesesakan berlaku hari cuti sekolah, hari minggu dan cuti umum. Hari-hari biasa memang lengang. Sebagai contoh, hari ni pun hari cuti juga tetapi (keadaan) lancar.

"Bagaimanapun, pihak imigresen menyediakan kaunter dan memang ada pegawai tambahan. Kita ada Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT) bagi mengatasi masalah kesesakan.Jadi, kaunter (imigresen) tiada masalah (kesesakan)," katanya ketika ditemui di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Selasa.

Rosli memberitahu, kira-kira 8,000 hingga 10,000 orang keluar masuk ke Thailand pada hari biasa melalui pintu sempadan itu.

Artikel Berkaitan:

"Jikalau pada hari sesak, ia akan mencecah sampai 15,000 orang keluar masuk sehari. Bukan cuti sekolah, ia akan turun," katanya.

Ujar beliau lagi, pasukan QRT sentiasa bersiap sedia menangani sebarang kesesakan disebabkan peningkatan jumlah rakyat Malaysia ke Thailand sememangnya dijangka setiap kali musim cuti sekolah.

Selain itu, Rosli berkata, perkhidmatan imigresen pantas dengan proses dokumentasi boleh dilakukan dalam tempoh 35 saat menggunakan mesin.

Beliau menambah, pihaknya membuka lapan kaunter dan perkhidmatan imigresen bagi memastikan proses dokumentasi berjalan lancar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!