Nelayan Indonesia didakwa seludup 38 PATI
TELUK INTAN - Dua nelayan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Selasa atas pertuduhan menyeludup 38 pendatang asing tanpa izin (PATI), awal Ogos lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Aeru Azhari, 30, dan Zulkifli, 43.
Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama dengan seorang yang masih bebas melakukan penyeludupan migran ke atas 38 warga Indonesia berusia atara 21 hingga 47 tahun di beting perairan laut Sungai Tiang dalam daerah Hilir Perak sekitar jam 8.30 pagi pada 10 0gos 2023.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media pada 10 Ogos lalu melaporkan, cubaan 40 PATI menyusup keluar dari negara ini dengan menaiki sebuah bot gagal apabila ditahan pihak berkuasa kira-kira 1.0 batu nautika dari perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk.
Pada 22 Ogos lalu, seramai 38 warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen yang sah serta tinggal melebihi masa.
Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh termasuk tiga wanita didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 kerana tinggal di negara ini tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang sah.
Manakala 25 tertuduh termasuk enam wanita didakwa berada di negara ini lebih dari masa yang telah ditetapkan iaitu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!