PRK: 304 kertas undi pos Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dikeluarkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 304 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor.

Menerusi kenyataan Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu terdiri daripada 226 kertas undi pos di Parlimen Pulai dan 78 di DUN Simpang Jeram.

"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus berkenaan sebelum Jam 5.00 petang pada hari mengundi iaitu 9 September.

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61.

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah Julai lalu untuk mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam pada 23 Julai ketika di dalam unit rawatan rapi (ICU) HSB.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!