Tunggang motosikal rentas 18 negara imbas merdeka

Peserta EWK66 melakukan sujud syukur selepas tiba di tanah air dengan disambut peserta KM66 di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
Peserta EWK66 melakukan sujud syukur selepas tiba di tanah air dengan disambut peserta KM66 di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Selepas menempuh perjalanan sejauh 22,000 (km) dari London bermula 20 Jun lepas, peserta Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 (EWK66) selamat tiba di tanah air pada Selasa.

Enam penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menyertai EWK66 London-Kuala Lumpur 2023 itu melakukan sujud syukur selepas tiba di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam di sini kira-kira jam 12 tengah hari.

Kembara itu dilakukan bagi mengimbas kenangan pada 1957 apabila Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membawa watikah pengisytiharan kemerdekaan Malaysia dari London.

Ketibaan enam peserta disambut ahli Gabungan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) diketuai Timbalan Presiden, Datuk Sulaiman Samia'an di pintu sempadan Malaysia-Thailand.

Datuk Sulaiman Sami'aan
Datuk Sulaiman Sami'aan

Ketua Ekspedisi, Arep Kulal berkata, mereka akhirnya tiba di tanah air selepas merentasi 66 bandar di 18 negara dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam tempoh 66 hari.

Arep berkata, mereka bersyukur kerana ekspedisi berjaya sampai ke Malaysia walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang perjalanan.

“Kami menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan, namun alhamdulillah cabaran dan dugaan itu tidak mematahkan semangat kami, semangat pasukan saya.

Artikel Berkaitan:

"Cabaran paling besar adalah ketika kami berada di Trijikistan tetapi alhamdulillah kami berjaya mengatasi cabaran tersebut," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas acara sambutan enam peserta EWK66 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam, Penolong Pengarah Imigresen Rosli Issak dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Shahrul Aman Sabil Ahmad.

Arep berkata, mereka juga berjaya mengatasi cabaran cuaca panas yang agak ekstrem ketika berada di China dan Tehran.

Sementara itu, Sulaiman berkata, ketibaan enam peserta EWK66 disambut peserta Kembara Merdeka 66 (KM66) bagi menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan tahun ini.

Tambahnya, seramai 238 ahli SAM bersama kenderaan sokongan turut mengadakan konvoi KM66 di beberapa negeri seperti Pahang sejak 26 Ogos lalu bagi menyuntik semangat patriotisme.

Program turut diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, sekaligus mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!