Adele luah perasaan selepas bercerai
MENJENGAH usia 31 tahun, penyanyi popular menerusi lagu Hello, Adele berkongsi kisah penuh emosi menerusi posting di Instagram ketika meraikan ulang tahun kelahirannya, baru-baru ini.
Penyanyi itu mengakui terpaksa berdepan fasa sukar selama beberapa bulan sebelum memutuskan untuk berpisah dengan Simon Konecki.
Jelas Adele, kemelut rumah tangga yang melanda banyak memberi kesan sekali gus mengubah dirinya.
“Saya kini berusia 31 tahun! Ia terlalu sukar buat saya namun saya sudah melakukan yang terbaik untuk menempuhinya.
“Perkara yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini banyak mengubah dan akan terus berubah.
“Tetapi tidak mengapa kerana tahun ini bakal memperlihatkan perubahan ketara dalam kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Adele turut memberi bayangan bakal muncul dengan lagu yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya untuk album akan datang.
Terdahulu portal hiburan berita Mirror melaporkan penyanyi kelahiran London itu mendedahkan rumah tangganya mula bergolak sejak sambutan Krismas tahun lalu sebelum mengumumkan sudah bercerai dengan suaminya beberapa minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!