Skuad hoki wanita negara tempah tiket Piala Dunia 2024

Skuad wanita negara menyambar tiket Piala Dunia 2024 selepas meraih pingat gangsa pada Piala Asia 2023 di Salalah, Oman pada Isnin. - Foto FB MHC
Skuad wanita negara menyambar tiket Piala Dunia 2024 selepas meraih pingat gangsa pada Piala Asia 2023 di Salalah, Oman pada Isnin. - Foto FB MHC
A
A
A

SKUAD hoki 5-sebelah (5's) wanita kebangsaan berjaya melayakkan diri ke edisi pertama Piala Dunia Hoki 5's 2024 selepas berjaya meraih pingat gangsa pada Piala Asia 5's di Salalah, Oman pada Isnin.

Skuad negara berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-4 untuk menewaskan Indonesia 2-1 pada penentuan shoot-out selepas keputusan terikat 4-4 pada aksi penentuan tempat ketiga/keempat itu.

Indonesia bermula garang apabila menjaringkan gol pembukaan menerusi Paulina Ronsumbre pada minit kelapan, sebelum Salma Maulani meledak dua gol padang pantas pada minit ke-10 dan 13 untuk mendahului dengan agak selesa.

Tersentak dengan itu, Malaysia merapatkan jurang menerusi Zati Alyani Muhamad Zubir pada minit ke-14, namun Indonesia bertindak pantas untuk kekalkan penguasaan menerusi jaringan Nisa Indira dalam masa beberapa saat sahaja.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Nabil Fiqri Mohd Noor berjaya mengikat kedudukan 4-4 menerusi jaringan Nurul Safiqah Mat Isa pada minit ke-16, Thibatharshini James (27) dan Nur Syafiqah Mohd Zain (30) untuk mengheret perlawanan ke shoot-out.

Pada shoot-out, Zati Alyani Muhamad Zubir dan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri berjaya menemui sentuhan jaringan, manakala hanya Nisa Indira meledak gol bagi Indonesia, sekali gus melayakkan pasukan negara sebagai antara 16 pasukan bagi Piala Dunia 2024.

"Persembahan yang ditampilkan bukan seperti yang dirancang. Namun, pemain menunjukkan keinginan tinggi pada 10 minit terakhir untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan shoot out, bagi memperoleh kemenangan.

"Objektif pada kejohanan tercapai, namun untuk menghadapi Piala Dunia, persiapan rapi perlu dilakukan terutama dari segi aspek kecergasan dan ketahanan mental," kata Nabil Fikri.

Artikel Berkaitan:

Hanya tiga pasukan terbaik dari edisi sulung Piala Asia 5's itu, mendapat tiket ke Piala Dunia yang akan berlangsung bermula 24-31 Jan depan di Muscat, Oman.

India muncul juara selepas membenam Thailand 7-2 pada final. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!